Tuesday, July 4, 2017

Ilmu Sesat Untuk Umat Islam??

Image result for philosophy
Sumber  gambar: Google



Malam ni Jumaat malam Sabtu. Azmi  agak free, lepas selesai bercakap telefon dengan ibu bapa di kampungnya (Sungai Petani), Azmi bercadang untuk lepak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama kawan-kawan sekolahnya Aiman dan Hisyam yang sedang menyiapkan pengajian di peringkat Master dan Doktor Falsafah (Ph.D.). Mereka keluar makan di satu gerai di seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Meja agak penuh malam tu sebab ada perlawanan bola sepak. Tiba-tiba datang kelibat seorang lelaki yang agak berumur duduk di meja kami.

“Assalamualaikum boleh pakcik duduk bersama anak-anak? Lelaki tersebut memulakan bicara.

“Waalaikumussalam. Boleh pakcik” jawab  Aiman. Dia mempelawa pakcik tersebut duduk di sebelahnya.


“Pakcik baru balik dari Masjid Sri Petaling, ada kelas hadith tadi, kebetulan nak singgah minum tapi tengok meja penuh pulak. Tapi dah letih jugak malas nak cari kedai lain. Anak-anak tak kisah ya pakcik tumpang?” lembut suara lelaki tersebut bertanya.

“Boleh pakcik. Lagipun meja ini ada satu lagi kerusi kosong” Hisyam kawannya seorang lagi menjawab.

“Pakcik tadi baru balik dengar kuliah hadith kat Masjid Sri Petaling dari Maulana. Seronok dengar kalam Nabi. Tapi sayang tak ramai umat Islam datang. Anak-anak ni dari mana? Tanya pakcik tersebut.

“Kami pelajar UKM pakcik, keluar makan malam je ni” Aiman menjawab ringkas. Azmi yang hanya datang melepak di Bangi itu pun di'UKM'kan sekali. Takpelah untuk memudahkan percakapan.

“Oh pelajar UKM, belajar bidang apa?" Tanya pakcik tersebut lagi sambil menghirup teh tarik yang dihantar untuknya.

“Kami dari Fakulti Pengajian Islam, ambil jurusan Usuluddin dan Falsafah”. . .Aiman bersuara menjawab soalan pakcik tersebut.

“Usuluddin? Bagus-bagus. Anak-anak muda macam ni patut belajar ilmu agama, berdakwah pada masyarakat. Tapi kamu cakap belajar falsafah? Bukan ilmu sesat ke tu? Eh jangan belajar la anak-anak. Baik kamu belajar al-Quran, tafsir dan hadith. Tok sah belajar ilmu sekular macam tu” nasihat pakcik tu kepada kami.

Azmi melihat kepada Aiman dan Hisyam. Ingin hati kecilnya menjerit bahawa dia pelajar kejuruteraan, tetapi ditahan untuk mendengar lagi kesudahan dialog tersebut.

"Takdelah pakcik. . . Ilmu falsafah ini tak sesat pun. . ." Hisyam bersuara lembut. "Bahkan kita unat Islam digalakkan untuk mempelajari ilmu falsafah ini. . ." sambungnya lagi.

Muka pakcik tadi berubah mendengar jawapan Hisyam. Sebelum sempat habis diteguknya teh tarik buat kali ke berapa entahnya itu, dia menyambung bicara;

"Kenapa kamu kata tak sesat? Aku tengok ramai je yang balik dari negara omputih belajar falsafah ni jadi sesat. . . Bebas sangat pemikiran, agama letak ke mana entah. . ." Tegas pakcik itu menuturkan kata-kata.

Sebelum sempat Hisyam menjawab persoalan itu, Aiman pula membuka mulut. Mungkin dia sedang menunggu peluang ini. Azmi? Dia tengok dan dengar sahaja perbualan tentang ilmu falsafah yang sedang di'explore'nya sekarang.

"Sebenarnya inilah yang ramai umat Islam tidak faham. Ilmu falsafah bukan semata-mata ‘sesat’, ‘bidaah’ atau racun sebagaimana didakwa. Salah faham inlah yang menyekat umat Islam untuk terus maju". Tenang Aiman menyusun kata-kata sebelum menyambung lagi, 

"Apa Muslim boleh belajar engineering, medicine, dan architecture tetapi tak boleh belajar falsafah? Salah faham inilah yang mesti orang Islam kita betulkan". aiman menghabiskan kata-katanya sambil menunggu reaksi pakcik tadi.

"Aku bukan nak sekat kamu belajar, tapi aku tak nampak kepentingan ilmu ni.  Habis kalau kamu kata perlu kita belajar, apa guna falsafah dalam kehidupan kita? Aku nak guna hadis dan feqah nak solat, beribadat. . . Bukan falsafah" reaksi pakcik tadi berubah menjadi agak tegas sedikit berbanding tadi.

"Baik pakcik, biar saya betulkan pemahaman pakcik. . ."  Aiman menjawab persoalan pakcik tadi. Azmi hanya menunggu dengan penuh debaran.

"Jangan bertumbuk dah la pakcik dan kawan-kawan aku ni. . ." Getus hati kecil Azmi keseorangan melihat perbincangan santai tadi berubah angin.

Lamunan Azmi terhenti mendengar kata-kata Aiman;

"Macam ni pakcik, secara ringkasnya ilmu falsafah merupakan ilmu untuk mendapatkan ‘kesimpulan munasabah’ bagi setiap sesuatu. Ilmu mantik dimulakan oleh ahli falsafah Greek kuno, iaitu Socrates. Pakcik kenal siapa Socrates?" tanya Aiman cuba mendapatkan respon dari pakcik tadi.

" Socrates. . . socrates. . . Macam nama bukan Islam je. . . Tak kenal aku nama orang kafir ni. . ." acuh tak acuh jawapan pakcik tersebut.

"Kalau pakcik tak kenal, biar saya kenalkan pakcik" jawab Aiman dengan riang. Dia menyambung lagi;

"Socrates ni orang lelaki biasa sahaja, tapi dia suka berfikir. Dengan fikiran dan idea dia, dia telah mencetuskan satu kejutan kepada masyarakat Greek kuno apabila mengajak mereka untuk mempersoalkan sesuatu perkara atau tindakan dengan mencari sebab dan akibat yang tersendiri" jawab Aiman lagi. Hisyam tenang menghabiskan mee goreng di dalam pinggannya mendengar penerangan Aiman. Azmi? Macam biasalah..tadah telinga sahaja.

Aiman kemudian menyambung; "Ilmu mantik dan falsafah ini kemudiannya diteruskan dan dikembangkan pula oleh Plato dan Aristotle. Secara mudahnya ilmu falsafah ialah ‘ilmu berfikir’, iaitu berfikir akan setiap perkara". Ujarnya.

Sebelum sempat pakcik itu membuka mulut, Aiman menyampuk lagi;

"Kalau pakcik baca di dalam al-Quran, Allah S.W.T pun suruh kita berfikir kan? Adanya ayat seperti 'afala tatafakkarun' atau 'afala ta'qilun' yang bermaksud 'apakah kamu (umat Islam) tidak berfikir dan apakah kamu tidak berakal'. Ayat ni menyuruh kita umat Islan tidak menerima sebarang perkara membuta tuli & membabi buta" panjang jawapan Aiman kali ni.

Kemudian, Hisyam yang baru sahaja sendawa kekenyangan dengan sepinggan mee goreng tadi pula mencelah;

"Seterusnya ilmu ini dikembangkan lagi oleh tokoh falsafah Greek lain seperti Thales, Anaximandros, Anaximenes, dan lain-lain lagi. Seterusnya  tamadun Islam juga mula mempelajari ilmu falsafah Greek kuno melalui terjemahan buku-buku Greek kepada bahasa Arab, lantas membawa kepada kewujudan tokoh-tokoh pemikir dan falsafah Islam seperti  al-Farabi, Ibnu Rusyd, Al-Kindi Ya’kub Ibnu Ishak, Ibnu Sina, Abu Hamid Al-Ghazali, Abdullah Ibn Al-Muqaffa, Abu Ali Al-Haitsam, Abu Abdillah Al-Khawarizmi, Al-Tibrisi, Ibnu Bajah, Al-Asmawi, As-Samarqandi, dan lain-lain lagi". Hisyam menerangkan sambil didengar oleh oakcik tadi.

"Kalau pakcik tak kenal nama-nama orang kafir ini pun, pakcik mesti tahu nama-nama tokoh Islam yang saya sebut tadi dan sumbangan kepada umat Islam kiat, betul tak? Mereka pun ahli falsafah" ujar Hisyam lagi.

Pakcik tadi dah berubah mukanya sambik memberi respon; "Ya. . . Ya. . . Kenal dan pernah dengar nama-nama tu" dengan muka selamba.

Hisyam menambah lagi "Ilmu falsafah telah dipecahkan kepada banyak cabang dan ranting, contohnya seperti falsafah ketuhanan dan metafizik, falsafah akhlak dan etika, falsafah logika, falsafah matematik, falsafah sains, falsafah alam dan lain-lain lagi.  Perbezaan falsafah pada zaman Greek kuno dengan falsafah Islam adalah, ketika falsafah Greek kuno menekankan penggunaan akal fikiran semata-mata, falsafah Islam membawakan aplikasi pemikiran berasaskan akal fikiran di samping sandaran al-Quran dan Hadis untuk menjadi petunjuk dalam berfikir".
 
"Emmm. . . Baiklah, pakcik berpuas hati mendengar jawapan kamu" jawab pakcik tadi. Dia kemudian bangun untuk beredar sambil meneruskan kata-kata;

"Makanan & minuman kamu tu, pakcik bayarkan. Lega pakcik kalau generasi muda macam kamu jujur dan amanah dengan ilmu" jawabnya lagi.

"Kalau kamu ada apa-apa masalah dalam pelajaran, datanglah jumpa pakcik di Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Pakcik pensyarah falsafah di situ" terang pakcik tersebut lagi sambil berlalu pergi selepas bersalam dengan ketiga-tiga remaja tadi.

Aiman dan Hisyam memandang sesama sendiri sambil mengabaikan Azmi. Tak sangka orang macam  tu hebat latar belakangnya. Ketiga-tiganya meneruskan lepak mereka sambil menonton perlawanan bola sepak yang sedang ditayangkan.

Hari ni, Azmi dapat ilmu baru tentang falsafah. Ilmu mantik dan falsafah merupakan ilmu yang mengajar manusia untuk berfikir, di samping mendidik manusia akan kaedah berfikir yang betul.
Akal merupakan satu-satunya alat berfikir teragung dan terulung yang pernah dimiliki oleh manusia. Dengan penggunaan yang betul, akal mampu menjadikan seorang manusia sebagai seorang yang hebat, di samping boleh mempengaruhi orang lain dalam setiap kata-kata, tulisan, akhlak dan tindakannya.

Namun begitu, penggunaan akal yang salah boleh menyebabkan seseorang itu tersesat dan mengeluarkan pemikiran yang mengarut dari segi akidah, kehidupan, akhlak dan sebagainya. Ilmu mantik dan falsafah, dengan kaedah dan ajaran yang betul mampu membentuk daya berfikir yang kuat, pemikiran yang mendalam, mengajar seorang manusia itu untuk menganalisis dan berfikir sebelum berucap sesuatu, mendorong seorang manusia untuk terus berfikir akan kehebatan Allah S.W.T dengan panduan al-Quran dan hadis.

No comments:

Post a Comment