Tuesday, July 4, 2017

Muslim Sekerat-sekerat

Related image
Sumber gambar: Google


Seorang Muslim haruslah menjadi MUSLIM sebenarnya dari semua aspek kehidupan, sejak dari lahirnya, sewaktu proses membesar dan mengenal dunia, sehinggalah apabila meninggal dunia. Muslim yang terbaik adalah mereka yang mempraktikkan dan mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan, selari dengan konsep Islam sebagai ‘Ad-Din’ atau ‘Islam sebagai satu cara hidup’. 

Islam sebagai ‘Ad-Din’ juga membawa maksud ‘Keberkesanan praktik Islam dalam semua aspek yang menyentuh hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain di dunia ini (jin, syaitan, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:


Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diterima) di sisi Allah adalah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih  melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hintungan hisab Nya 

(QS  Surah al-Imran 3:19)

Islam sebagai Ad-Din iaitu satu sistem hidup yang lengkap boleh dijelaskan lagi melalui konsep berikut:


Seorang manusia itu mengakui keEsaan penciptanya serta meyakini apa yang diciptakan dan disampaikan dengan penuh kerelaan serta menujukkan kesungguhan yang mendalam dalam mempraktikkan segala suruhan dan menjauhi segala laranganNya. 

Islam sebagai Al-din bermaksud Islam itu merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan (ALLAH) seperti solat, puasa dan zikir (membaca Quran), hubungan antara manusia dengan manusia seperti berkahwin, berjual beli, bekerja dan bersahabat serta hubungan manusia dengan alam seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan keindahan alam, tidak menyiksa binatang dan sebagainya.

Islam adalah satu cara hidup (the way of life) yang mencakupi seluruh kehidupan manusia. Ajarannya adalah dalam bentuk kesepaduan yang sempurna. Ia mesti diterima seluruhnya dan tidak boleh dipecah-pecahkan secara berasingan dengan menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain.

Dalam Islam terkandungnya aspek ekonomi, politik, perundangan, pentadbiran, pendidikan, ketenteraan, sains dan teknologi malah semua ruang lingkup kehidupan manusia diatur oleh Islam sebagai al-Din.


Namun apa yang menyedihkan sekarang adalah sifat Muslim itu sendiri, di mana sekarang kita dapat lihat Muslim mengamalkan Islam secara sekerat-sekerat. Maksud mengamalkan Islam secara sekerat-sekerat ini adalah ramai Muslim mengamalkan Islam pada keadaan tertentu sahaja dan bukan pada semua situasi. Apabila ada sesuatu situasi yang dirasakan perlu dilakukan mengikut kaedah Islam, maka ia dilaksanakan mengikut kaedah Islam. Apabila dirasakan tidak sesuai dilaksanakan mengikut Islam, maka hal tersebut dilakukan mengikut cara sendiri atau berpandukan cara lain.

Berikut merupakan antara contoh-contoh mudah bagi menunjukkan keadaan ‘Muslim sekerat-sekerat’ ini:

1. Orang Islam akan berkahwin menurut cara Islam. Ada akad nikah, ada saksi, ada wali (sama ada wali asal atau wali hakim), ada majlis jamuan dan sebagainya. Tapi sewaktu berkahwin, pakaian kahwin tu (MasyaAllah) memang ikut fesyen orang putih (orang Barat). Kahwin ikut Islam tapi pakaian kahwin ikut Barat. Ditambah lagi ada majlis tarian, muzik dan juga persandingan besar-besaran. Ikut sangat budaya orang Barat tu. Betul perkahwinan ialah untuk seronok dan bergembira tapi jangan kita campur dengan perkara yang melalaikan dan maksiat kepada semua. Ada pula yang bermekap tebal sampai sanggup tidak solat semata-mata menjaga mekap tadi. Antara jawapan biasa adalah “sayanglah nak buang mekap” atau “takpe nanti jamak je, majlis kahwin ini hanya sekali seumur hidup”. Nauzubillah min dzalik. HIlang keberkatan majlis perkahwinan kalau ini menjadi amalan Muslim.

2. Orang Islam sewaktu menyambut bayi akan dibuat mengikut cara Islam, ada majlis kesyukuran, ada ustaz baca doa. Tetapi ada sambutan yang dibuat mengikut orang Barat seperti ‘baby shower’ dan macam-macam lagi. Tambahan pula sekarang dengan perkembangan dunia sains dan teknologi maka umat Islam harus maju dalam segenap aspek, harus juga maju dari segi namanya. Sekarang dapatlah kita lihat nama anak-anak Muslim moden yang mempunyai nama pelik-pelik, gabungan budaya Timur dan Barat. Lagi teruk tak ada maksud pun nama pelik-pelik tersebut. Siapa yang pening kepala? Cikgu sekolah juga yang pening nanti nak tulis nama anak-anak yang kononnya ‘canggih’ sangat tu. Kekalkan nama mudah dan simple sahaja asalkan mempunyai maksud yang baik seperti Anas, Ahmad Shukri, Muhammad al-Fateh, Fuad, Asma’, Khadijah, Aisyah, Amirah dan lain-lain.

3. Umat Islam sekarang menghadapi krisis ‘tidak datang ke masjid’. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat penyatuan dan asas kekuatan Muslim hanya didatangi oleh orang Islam pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sebagai contoh ada yang datang masjid pada waktu solat jumaat sahaja, ada yang datang pada hari perayaan sahaja (hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha) sahaja, pada waktu majlis akad nikah, pada hari persediaan kursus haji dan sewaktu hari berlaku kematian. Masjid hanya dilihat sebagai simbol sahaja, bukan tempat yang wajib dikunjungi untuk solat berjemaah setiap hari. Ini adalah satu salah faham yang patut dielakkan dalam pemikiran setiap umat Islam. Contohnya di Selangor ada dibuat program tuisyen rakyat, di mana diwujudkan kelas tuisyen secara percuma untuk rakyat yang miskin dan tidak mampu ke kelas tuisyen luar. Kelas tuisyen rakyat ini kebiasaannya dibuat di masjid-masjid. Apa yang menyedihkan adalah ramai ibu bapa yang datang menghantar dan mengambil anak-anak mereka untuk menghadiri tuisyen rakyat ini hanya sekadar datang dan duduk di dalam kereta sahaja di masjid tersebut. Bahkan ramai yang tidak peduli jika dilaungkan azan dan iqamat sewaktu ibu bapa ini menunggu anak masing-masing. Nauzubillah min dzalik. 

Contoh ini dan banyak lagi menunjukkan keadaan Muslim sama ada di Malaysia atau di tempat lain yang gemar mengamalkan ‘Islam sekerat-sekerat’ ini. Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, Islam patut dijadikan pegangan dalam setiap perkara dan corak kehidupan, bukan sekadar diamalkan sekerat-sekerat dalam kehidupan. 

No comments:

Post a Comment