Thursday, July 13, 2017

MEMAHAMI MAKNA DAN KONSEP SEBENAR ‘KEBERKATAN’

Image result for barokah
Kredit gambar: Google



MEMAHAMI MAKNA DAN KONSEP SEBENAR ‘KEBERKATAN’
OLEH:
WAN AHMAD FUAD BIN WAN AHMAD KAMIL

(terbit dalam Majalah Dewan Tamadun Islam 
keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2015)

PENGENALAN

Kehidupan manusia merupakan satu anugerah dari Allah swt. Kita sebagai hamba yang lemah dan tidak berdaya tidak dapat menafikan bertapa besar dan agungnya kekuasaan Allah swt selaku al-Khaliq (Yang Maha Mencipta). Lihat sahaja alam sekeliling, apakah tidak cukup lagi bukti kebesaran dan kekuasaan yang telah Allah swt tujukkan kepada kita? Apakah masih lagi perlu diberikan bukti-bukti lain untuk menjadikan manusia itu tunduk dan patuh kepada Allah swt tanpa bersyarat?



Sesungguhnya hanya iman dan taqwa sahaja mampu memberi jawapan dan petunjuk kepada persoalan ini. Manusia yang ‘dianugerahkan’ atau berusaha ‘mendapatkan’ iman dan taqwa yang tinggi sahaja akan mampu menjadi ‘ibad’; hamba yang soleh melalui pembuktian penciptaan alam semesta ini. Allah swt berfirman di dalam al-Quran:

Maksudnya:”Katakanlah, Allah itu pencipta alam segala sesuatu. Dialah yang maha Esa dan Maha perkasa.” (Surah Ar-Ra’du : 16 )

Firman Allah swt yang lain mengenai hal ini:

Maksudnya: ”Sebagai Rahmat dari Tuhanmu sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui Tuhan yang memlihara langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya, jika kamu adalah orang yang meyakini.” (Surah Ad-Dukhan : 6-7)

            Mengenai manusia yang tunduk dan patuh kepada Allah swt, setelah mereka melihat kehebatan penciptaan alam semesta dan berfikir mengenainya, Allah swt telah memberi satu ‘pujian’ kepada mereka di dalam al-Quran:

Maksudnya: “Dia memberikan kebijaksanaan kepada yang Dia kehendaki, dan barang siapa yang telah diberi kebijaksanaan, sesungguhnya telah diberi kebaikan yang melimpah, namun tidak ada yang mengetahuinya kecuali orang-orang yang berakal”. (Surah al-Baqarah: 269)


Sesungguhnya kita sebagai Muslim, selain menunaikan Rukun Islam yang 5, membaca al-Quran dan menunaikan tuntutan syariah Islam yang lain, kita juga seharusnya tidak leka dan lalai untuk mengingati dan berfikir akan kebesaran Allah swt,

MAKNA DAN KONSEP KEBERKATAN

Keberkatan ialah sesuatu yang seharusnya menjadi tujuan hidup seorang Muslim. Sedar atau tidak, sebenarnya kita sebagai Muslim telah lama mengamalkan konsep keberkatan dalam kehidupan kita. Lihat saja dalam kehidupan kita sehari-hari, dalam solat, pertemuan kita dengan Muslim lain tanpa sedari kita telah mengaplikasi dan mendoakan keberkatan ini. Buktinya apabila kita bersalam, kita mengucapkan: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh (Salam sejahtera dan keberkatan ke atas mu). Selepas akhir solat kita setiap waktu, kita akan mendoakan keberkatan ke atas Rasulullah saw dan keluarga Baginda. Doanya ialah: “wabaarik ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala ali sayyidina Muhammad (dan keberkatan ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad). Kita juga akan mendoakan kepada pasangan yang baru kahwin keberkatan ke atas mereka: Barakallah lakuma wa baraka ‘alaikuma: “Semoga berkat Allah ke atas kamu.” Di sini dapat dilihat kesan penggunaan ‘berkat’ dalam kehidupan Muslim.

Perkataan berkat berasal dari ‘barakah’ yang membawa maksud bertambah atau berkembang. Perkataan ‘barakah’ di dalam bahasa arab, jika ditambah dengan beberapa perkataan lain boleh membawa maksud yang hampir serupa tetapi tak sama. Contohnya ‘mubarak’ yang bermaksud ‘keberkatan yang banyak yang diperolehi hanya dari Allah swt.’ Ini disebut oleh Allah swt di dalam al-Quran:

Maksudnya: Dan Al-Quran ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya? (Surah al-Anbiya: 50)

Ayat al-Quran lain yang menyebut perkataan berkat ini ialah:

Maksudnya: Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup (Surah Maryam:31)

Maksud perkataan berkat di dalam ayat-ayat yang disertakan ini bermaksud ‘sesuatu yang membawa banyak kebaikan’, dan simbolisme berkat ini manfaatnya hanya boleh datang dari Allah swt. Perkataan lain daripada ‘berkat’ juga ialah ‘tabaarak’ atau bermaksud ‘Yang Maha Berkat’.  Perkataan ‘tabarak’ banyak digunakan di dalam al-Quran untuk menggambarkan kekuasaan Allah swt yang memberi keberkataan kepada semua makhluk ciptaan Nya. Buktinya dapat dilihat dari dua surah di dalam al-Quran yang bermula dengan kalimah ‘tabarak’:
Maksudnya: Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;(Surah al-Mulk: 1)
Firman Allah swt dalam surah yang lain:
Maksudnya: Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (Surah al-Furqaan: 1)

Sebenarnya, tidak payah untuk kita sebagai Muslim memahami erti ‘barakah’ atau berkat dan seterusnya mengaplikasikan konsep tersebut ke dalam hidup kita. Mungkin kita tanpa sedar ada mempraktikkan sikap ‘mengejar berkat’ ini dalam kehidupan. Apa yang perlu difahami ialah keberkatan adalah anugerah Allah swt kepada sesiapa yang dikehendaki. Apabila seseorang memperolehi keberkatan daripada Allah, maka tanpa sedar keberkatan itu telah meresap di dalam kehidupannya.

Keberkatan yang diberikan Allah swt boleh datang dalam banyak bentuk dan keadaan. Di sini keberkatan boleh dikategorikan kepada 3 jenis utama. Pertama: Keberkatan dalam umur dan amalan. Kedua: keberkatan dalam kesihatan, dan Ketiga: keberkatan kepada harta benda. Setiap jenis keberkatan ini ada kelebihan dan manfaat tersendiri yang boleh manusia sejagat umumnya, dan Muslim secara khusunya mengambil pengajaran untuk kehidupan masing-masing.

Contoh pertama iaitu keberkatan dalam umur dan amalan dapat dilihat dari kisah kehidupan Rasulullah saw, para sahabat, para tabiin dan tabi’ tabiin. Merujuk kisah Rasulullah saw, keberkatan yang dianugerahkan Allah swt kepada Baginda boleh dilihat dengan kebaikan dan ajaran yang dibawa Baginda memberi kerahmatan ke seluruh alam. Perkara ini ditegaskan oleh Allah swt sendiri di dalam al-Quran:
Maksudnya: “Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al Anbiya: 107).
           
Rahmat seluruh alam ini ialah Islam. Dengan keberkatan daripada Allah swt, ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda tersebar ke seluruh dunia, diterima dan dianuti oleh seluruh lapisan manusia, serta membawa pelbagai kebaikan melalui ajaran syariat yang terkandung di dalam Islam itu sendiri. Bahkan kita boleh merujuk kitab-kitab sirah dan hadith menyatakan bahawa Islam dibawa oleh Baginda hanyalah dalam tempoh 23 tahun sahaja, tetapi diterima dan tersebar ke seluruh dunia. Contoh dari tabiin dan tabi’ tabiin pula, kita boleh mengambil kisah hidup Imam Syafie, Ibn Taimiyyah, Imam Nawawi dan ramai lagi yang telah pergi, tetapi meninggalkan kepada kita semua khazanah ilmiah yang sangat bermanfaat dan relevan diguna pakai sehinggalah sekarang. Ilmu yang ditulis dan diajarkan oleh mereka ini kekal dan tidak lapuk dek zaman, bahkan memberi manfaat kepada Muslim sekarang untuk mengamalkan ajaran Islam. Itulah tanda adanya keberkatan di dalam umur dan juga amalan yang mereka lakukan, menjadikan usaha mereka itu bermanfaat untuk manusia lain. Rasulullah saw ada menyebut tentang memberi kebaikan ini, sabda Baginda:
”Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan kedalam diri seorang muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi utang atau menghilangkan kelaparan.(Hadith riwayat Thabrani)


Keberkatan yang kedua iaitu keberkatan dalam kesihatan pula merujuk kepada seseorang yang Allah swt berikan keberkatan untuknya dari segi kesihatan untuk memudahkannya melakukan kebaikan dan amalan soleh kepada Allah swt. Seorang lelaki atau perempuan mungkin diberi kesihatan yang kurang elok, banyak penyakit dan ditarik nyawanya kembali kepada yang Esa lebih awal untuk mengelakkan dan menjaga dirinya dari melakukan lebih banyak dosa kepada Allah swt. Bagi mereka yang diberikan kesihatan yang elok, itulah peluang yang sepatutnya digunakan untuk muhasabah diri dan bertubat dari segala kesalahan dan maksiat yang pernah dilakukan sebelumnya. Kedua dua situasi di atas ialah tanda adanya keberkatan pada kesihatan.

Keberkatan pada harta benda pula merujuk kepada wujudnya manfaat yang besar pada harta benda yang dimiliki seseorang itu. Samada banyak atau sikit, harta yang dimilikinya itu boleh menolongnya mendapat rahmat dan redha Ilahi serta membantunya di akhirat kelak. Dengan harta yang dimiliki seseorang itu boleh mendema dan membelanjakannya di jalan Allah. Selain itu harta yang dipunyainya tidak menjerumuskan diri empunyanya ke jalan maksiat seperti digunakan untuk membeli benda-benda yang diharamkan Allah (arak, rokok, nombor ekor, dadah, dll..), tidak dibelanjakan di jalan maksiat ( berjudi, melanggan pelacur, melabur untuk perniagaan haram dll..) dan sama sekali tidak menyusahkan pemiliknya (hutang yang membebankan, harta banyak tapi tak pernah cukup, dll..). Mereka yang diberikan berkat pada harta bendanya akan di 'bantu' oleh Allah untuk membelanjakannya di jalan yang benar.

KESIMPULAN

Keberkatan ialah sesuatu yang seharusnya menjadi keutamaan kepada kita Muslim dalam meneruskna kehidupan di dunia ini. Tidak cantik jika kita hidup ddi dunia pinjaman Allah ini, dengan nyawa dan rezeki pinjaman dari Allah, dengan hutang tanggungjawab dari Allah swt tapi hidup kita dimurkai Allah swt, hidup kita terumbang ambing tanpa redha Nya hadir di sisi kita dan keluarga kita.

Tiada gunalah hidup sebegitu mewah, megah dan indah di dunia, walhal kita nanti tunduk malu dan segan kepada Allah swt di akhirat kelak. Biarlah kita menjadi hamba Nya yang nanti tidak sabar berjumpa Rabb al Izzah dengan penuh khusyuk dan tawaduk tanpa sebarang kemurkaan dari Nya akibat kehidupan kita di dunia yang sementara ini. Sama samalah kita berusaha menjadi hamba yang diredhai Allah swt, disukai oleh kekasih Nya Rasulullah saw dan ditempatkan bersama hamba-hambanya yang di sayangi di dunia dan di akhirak. Amin ya Rabb al Alamin.

No comments:

Post a Comment